SEJARAH MAHKAMAH NEGERI KEDAH

 
Sejarah Institusi Kehakiman dan Pentadbiran
 
Keadilan di Negeri Kedah Darul Aman
 
Latar belakang sejarah secara ringkas
 
bermula daripada tahun 1909 sehingga
 
1948
 
Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun1948, Mahkamah-mahkamah di Negeri Kedah diwujudkan berdasarkan peruntukan di bawah Enakmen Mahkamah-mahkamah Kedah 1909.Mahkamah-mahkamah yang wujud di bawah Enakmen Mahkamah-mahkamah Kedah 1909 ialah Mahkamah Rayuan,Mahkamah Tinggi (pada masa itu dikenali sebagai Mahkamah Besar), Mahkamah Syariah dan Mahkamah Daerah.
 
Bidangkuasa Mahkamah Tinggi pada masa itu ialah bidangkuasa asal (‘original jurisdiction’) bagi membicarakan kes-kes sivil dan jenayah dan bidang kuasa rayuan untuk mendengar rayuan terhadap kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah-mahkamah Daerah.Manakala Mahkamah Rayuan pula mempunyai  bidangkuasa untuk mendengar rayuan terhadap kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.
 
Di dalam tahun 1909 Hakim-hakim Mahkamh Rayuan adalah terdiri daripada ahli Majlis Negeri Kedah dan dua orng pakar undang-undang Syariah. Antara mereka yang pernah menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada tahun 1909 ialah Mr.J.G. Richer iaitu penolong kepada penasihat British dan dua orang pakar undang-undang Syariah iaitu  Haji Muhammad Sahid dan Sheikh Jarum. Manakala Ketua Hakim (‘Chief Judge’) Mahkamah tinggi pada masa itu ialah Tuan Syed Hassan Barakbah.Seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu ialah Tuan Syed Abdullah shahabudin.
 
Era selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
 
Dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 yang mana Negeri Kedah adalah merupakan salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan tersebut,maka sebuah Persekutuan yang didasarkan kepada prinsip-prinsip pengasingan kuasa telah terbentuk.Kesan daripada perjanjian Persekutuan 1948 terhadap system perundangan di Negeri Kedah ialah ‘ State council hanya mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dalam perkara-perkara berkenaan dengan agama dan adat resam sahaja.
 
Pada 16 Disember 1948 Majlis Mesyuarat Persekutuan telah meluluskan  satu Ordinan Mahkamah.Ordinan tersebut telah diwartakan pada 1 Januari 1949. Ordinan tersebut telah membatalkan semua Ordinan Mahkamah yang wujud sebelumnya di seluruh Persekutuan.Turut dibatalkan ialah Ordinan Mahkamh Kedah (semakan) 1934.
 
Ordinan Mahkamah telah memperuntukkan supaya diwujudkan Mahkamah Rendah yang terdiri daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Persekutuan Tanah Melayu.Manakala pembentukan Mahkamah Tinggi diperuntukkan oleh Fasal 77(1) Perjanjian Persekutuan 1948.Selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu,Mahkamah-mahkamah yang terdapat di dalam Persekutuan Tanah Melayu termasuk di Negeri Kedah ialah 1.Mahkamah Tinggi : (a) Mahkamah Tinggi (b) Mahkamah Rayuan,2.Mahkamah Rendah : (a) Mahkamah Sesyen (b) Mahkamah Majistret Kelas Satu (c) Mahkamah Majistret Kelas Dua, Mahkamah Penghulu dan 3 Mahkamah Syariah.
 
Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu Mahkamah Sesyen dikenali sebagai Mahkamah Daerah.Sehingga 1 Januari 1948 terdapat lima belas buah Mahkamah Daerah di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.Dua buah daripadanya terletak di Negeri Kedah.Mahkamah Daerah pada masa itu mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes-kes sivil yang mempunyai tuntutan tidak melebihi $1,000-00.Manakala bagi bidangkuasa jenayah pula ia boleh membicarakan kes-kes jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tidah lebih empat tahun atau dengan denda sahaja.
 
Ordinan Mahkamah 1948 telah menggantikan Mahkamah daerah dengan Mahkamah Sesyen.Perbicaraan di Mahkamah Sesyen pula dikendalikan oleh Presiden bagi menggantikan ‘District Judge’ yang mengendalikan perbicaraan di Mahkamah Daerah.Pada masa itu seorang Presiden boleh dilantik daripada kalangan mereka yang berkelayakan ‘barrister-at-law’ atau seorang peguam.Semua Presiden yang dilantik adalah merupakan ahli kepada ‘Colonial Legal Service’.Semua Presiden ketika itu dilantik oleh Persuruhjaya Tinggi atas cadangan Hakim Besar.
 
Berkuatkuasa mulai 1 Januari 1948 sebanyak sepuluh buah MahkamahSesyen telah diwujudkan di Negeri Kedah.Iaitu di Alor Setar ,Baling, Bandar Bahru, Kuala Nerang, Kulim, Sik, Gurun, Jitra, Langkawi dan Sungai Petani.Presiden Mahkamah Sesyen di Negeri Kedah pada ketika itu ialah Tuan Azmi bin Hj Mohamad dan Tuan Syed Sheikh bin Syed Hassan Barakbah.Pusat atau ibu pejabatnya pada masa itu ialah di Alor Setar.Kedua-dua orang Presiden Mahkamah Sesyen tersebut akan bergilir-gilir bertugas di Mahkamah Sesyen di luar Alor Setar.
 
Manakala di Negeri Kedah pada ketika itu terdapat lima belas buah Mahkamah termasuk yang diwujudkan atas nasihat pihak Negeri yang mana ia akan digunakan jika ada keperluan.Mahkamah-mahkamah Majistret tersebut ialah di Alor Setar,Gurun,Jitra,Kuala Nerang,Kulim,Langkawi,Sik,Sungai Petani dan Yan.Manakala Mahkamah-mahkamah Majistret yang diwujudkan atas nasihat pihak Negeri ialah Kodiang,Selekoh,Kuala Ketil,Changlun,Sanglang dan Serdang.
 
Antara mereka yang pernah berkhidmat sebagai Majistret Kelas Satu di Alor Setar pada masa itu ialah Hj Ahmad bin Hj Mohd Shariff dan Arshad bin Ismail.Manakala di antara mereka yang pernah berkhidmat sebagai Majistret Kelas Satu di Sungai Petani pula pada masa itu ialah Tuan Syed Makhtir bin Syed Osman.
 
Terdapat juga beberapa orang Majistret Kelas Dua yang telah dilantik oleh Sultan.Antara mereka ialah Wan Anuar bin Wan Ismail,Abdul Aziz bin Md Zain,Harun bin Ariffin,Shariff bin Puteh,Shahbuddin bin Hashim,Long bin Osman,Ahmad bin Hanafi,Yang Teramat Mulia Tengku Nong bin Tengku Mohd Jewa dan Yang Teramat Mulia Tunku Abdullah bin Tengku Kassim.
 
Pada masa itu terdapat sebelas (11) buah daerah di dalam Negeri Kedah.Daerah-daerah tersebut ialah Bandar Bahru,Kota Setar,Kuala Muda,Kubang Pasu,Kulim, Langkawi,Padang Terap,Pendang,Sik dan Yan.Kecuali Daerah Yan dan Pendang,di setiap daerah di dalam Negeri Kedah terdapat sebuah atau lebih daripada sebuah Mahkamah Majistret untuk membicarakan kes-kes sivil dan jenayah.
 
Di dalam Perjanjian Persekutuan 1948 terdapat peruntukan yang membolehkan, diwujudkan Mahkamah Tinggi.Mahkamah Tinggi tersebut mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes-kes jenayah dan sivil dan bidangkuasa rayuan untuk mendengar rayuan terhadap kes-kes jenayah dan sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.Fasal 77 Perjanjian Persekutuan memperuntukkan bahawa Hakim-hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Persuruhjaya Tinggi bagi pihak Sultan-sultan.Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar pada masa itu ialah R.D.R. Hill.Manakala Hakim Besar Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu yang ditempatkan di Kuala Lumpur ialah Sir Harold Willson.
 
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan wujudnya Perlembagaan Persekutuan,Hakim Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,selepas merujuk dan mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja dan nasihat Hakim Besar.
 
Sejarah Bangunan-bangunan Mahkamah Alor Setar
 
Selari dengan sejarah perkembangan Institusi Kehakiman dan Pentadbiran Keadilan di Negeri Kedah Darul Aman ialah pembinaan bangunan Mahkamah. Bangunan Mahkamah Alor Setar (sekarang ini dikenali sebagai Mahkamah Tinggi) pernah satu ketika dahulu ditempatkan di Bangunan yang sekarang ini merupakan Balai Seni Negeri.Bangunan tersebut dibina pada tahun 1892.Selepas berperanan sebagai Mahkamah Tinggi ia kemudiannya menjadi pejabat kepada beberapa jabatan kerajaan negeri sebelum dijadikan Balai Seni Negeri.
 
Pada tahun 1927 sebuah bangunan telah dibina di Jalan Raja,Alor Setar untuk dijadikan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Alor Setar.Daripada bangunan yang terletak di Jalan Raja,Alor Setar,Mahkamah Alor Setar kemudiannya telah berpindah ke sebuah bangunan yang terletak di persimpangan Jalan Putera bersebelahan Balai Nobat iaitu di Jalan Kampung Baru.Bangunan tersebut dibina pada bulan Rabiulawal 1341 Hijrah bersamaan bulan November 1922.Flashback bangunan Mahkamah-mahkamah Alor Setar.
                                                                                                         
Keadaan Mahkamah-Mahkamah seluruh Negeri Kedah pada masa sekarang
 
Dengan siap terbinanya kompleks Mahkamah Alor Setar yang baru di Jalan Suka Menanti pada bulan Mei 2005 ia telah membuka satu lembaran baru kepada institusi kehakiman dan pentadbiran keadilan di Negeri Kedah Darul Aman.Kompleks Mahkamah Alor Setar yang baru bukan sahaja telah menambahkan mercu tanda Bandaraya Alor Setar tetapi ia juga turut membawa institusi kehakiman dan pentadbiran keadilan di Negeri Kedah sejajar dengan perkembangan semasa. Di samping itu ianya akan menjadi sebahagian daripada persiapan institusi kehakiman untuk menyahut cabaran zaman selaras dengan kepesatan pembangunan Negeri Kedah.
 
Pada masa ini terdapat empat (4) buah Mahkamah Tinggi di Negeri Kedah. Keempat-empat Mahkamah Tinggi tersebut terletak di Kompleks Mahkamah di Alor Setar.Kes-kes yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dari seluruh pelusuk Negeri Kedah akan didaftarkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Alor Setar.
 
Manakala pada masa ini pula terdapat lapan (8) buah Mahkamah Sesyen di Negeri Kedah. Empat buah Mahkamah Sesyen terletak di Kompleks Mahkamah di Alor Setar dan empat buah lagi terletak di Kompleks Mahkamah  di Sungai Petani. Kes-kes yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen akan didaftarkan  samada di Mahkamah Sesyen Alor Setar atau di Mahkamah Sesyen Sungai Petani,bergantung kepada di mana berlakunya kausa tindakan bagi kes-kes sivil dan tempat di mana berlakunya kejadian jenayah bagi kes-kes jenayah.
 
 
 
 
Total visitors to the Portal : 40,035Pelawat: Hari Ini: 327
Last updated : 17 April 2014
 
       Multimedia Super Corridor            E-Perolehan    1Malaysia   LHDN