Warna Tema        
Saiz Tulisan -A A +A
 

BERMULA DARIPADA TAHUN 1909 SEHINGGA 1948

img

Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, Mahkamah-mahkamah di Negeri Kedah diwujudkan berdasarkan peruntukan di bawah Enakmen Mahkamah-mahkamah Kedah 1909.Mahkamah-mahkamah yang wujud di bawah Enakmen Mahkamah-mahkamah Kedah 1909 ialah Mahkamah Rayuan,Mahkamah Tinggi (pada masa itu dikenali sebagai Mahkamah Besar), Mahkamah Syariah dan Mahkamah Daerah.

Bidangkuasa Mahkamah Tinggi pada masa itu ialah bidangkuasa asal (‘original jurisdiction’) bagi membicarakan kes-kes sivil dan jenayah dan bidang kuasa rayuan untuk mendengar rayuan terhadap kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah-mahkamah Daerah.Manakala Mahkamah Rayuan pula mempunyai  bidangkuasa untuk mendengar rayuan terhadap kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.

Di dalam tahun 1909 Hakim-hakim Mahkamh Rayuan adalah terdiri daripada ahli Majlis Negeri Kedah dan dua orng pakar undang-undang Syariah. Antara mereka yang pernah menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada tahun 1909 ialah Mr.J.G. Richer iaitu penolong kepada penasihat British dan dua orang pakar undang-undang Syariah iaitu  Haji Muhammad Sahid dan Sheikh Jarum. Manakala Ketua Hakim (‘Chief Judge’) Mahkamah tinggi pada masa itu ialah Tuan Syed Hassan Barakbah.Seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu ialah Tuan Syed Abdullah shahabudin.

 

SEJARAH BANGUNAN-BANGUNAN MAHKAMAH ALOR SETAR

imgimg

Selari dengan sejarah perkembangan Institusi Kehakiman dan Pentadbiran Keadilan di Negeri Kedah Darul Aman ialah pembinaan bangunan Mahkamah. Bangunan Mahkamah Alor Setar (sekarang ini dikenali sebagai Mahkamah Tinggi) pernah satu ketika dahulu ditempatkan di Bangunan yang sekarang ini merupakan Balai Seni Negeri.Bangunan tersebut dibina pada tahun 1892.Selepas berperanan sebagai Mahkamah Tinggi ia kemudiannya menjadi pejabat kepada beberapa jabatan kerajaan negeri sebelum dijadikan Balai Seni Negeri.

Pada tahun 1927 sebuah bangunan telah dibina di Jalan Raja,Alor Setar untuk dijadikan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Alor Setar.Daripada bangunan yang terletak di Jalan Raja,Alor Setar,Mahkamah Alor Setar kemudiannya telah berpindah ke sebuah bangunan yang terletak di persimpangan Jalan Putera bersebelahan Balai Nobat iaitu di Jalan Kampung Baru.Bangunan tersebut dibina pada bulan Rabiulawal 1341 Hijrah bersamaan bulan November 1922.Flashback bangunan Mahkamah-mahkamah Alor Setar.

 

MAHKAMAH NEGERI KEDAH YANG TERKINI

img

Mahkamah Negeri Kedah yang terkini terdiri daripada 3 buah Mahkamah Tinggi yang terletak di Kompleks Mahkamah Alor Setar yang mendengar kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi

Mahkamah Negeri Kedah juga terdiri daripada 11 buah Mahkamah Sesyen yang terletak lima buah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, empat buah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani dan dua buah di Mahkamah Sesyen Kulim yang mendengar kes-kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen

Mahkamah Negeri Kedah juga terdiri daripada 15 buah Mahkamah Majistret yang terletak di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Bandar Baharu, Gurun, Yan, Baling, Sik, Jitra, Kuala Nerang dan Langkawi yang mendengar kes-kes di bawah bidangkuasa Mahkamah Majistret.