Warna Tema        
Saiz Tulisan -A A +A
 

Tarikh: 29 Mei 2021

Perkara: OPERASI MAHKAMAH SEMASA PELAKSANAAN 'TOTAL LOCKDOWN' FASA PERTAMA BERKUAT KUASA MULAI 1 JUN 2021

 

YBhg. Tan Sri/ Dato’ Sri/ Datuk/ Tuan,

 

Dengan hormatnya saya merujuk perkara di atas.

 

2.      Sebagaimana yang YBhg. Tan Sri/ Dato’ Sri/ Datuk/ Tuan sedia maklum, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia melalui kenyataan media Pejabat Perdana Menteri bertarikh 28 Mei 2021 telah mengumumkan ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara berkuat kuasa 1 Jun 2021. Sehubungan dengan itu, adalah saya diarahkan oleh YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara untuk memaklumkan bahawa berkuat kuasa 1 Jun 2021 pengendalian kes-kes Mahkamah di seluruh negara hendaklah berpandukan kepada arahan-arahan yang berikut:

 

(a)      Perbicaraan / Pendengaran Kes Sivil dan Jenayah

(i)             Semua perbicaraan / pendengaran kes sivil dan jenayah yang telah ditetapkan secara kehadiran fizikal di Mahkamah hendaklah ditangguhkan dan penetapan tarikh perbicaraan / pendengaran yang baharu akan dimaklumkan kemudian;

 

(ii)            Bagi kes-kes sivil, pendengaran kes hendaklah dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh berdasarkan Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2021 Pengendalian Kes Sivil Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh Bagi Mahkamah Di Seluruh Malaysia (AA KHN 1/2021) (dilampirkan). Bagi maksud ini, pengendalian prosiding melalui kaedah hibrid adalah tidak dibenarkan dan perenggan 6, 9 dan 14 AA KHN 1/2021 adalah tidak terpakai; dan

 

(iii)          Dengan mengambil kira tempoh pelaksanaan ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama ini, sekiranya pihak YBhg. Tan Sri/ Dato’ Sri/ Datuk/ Tuan mempunyai kesukaran dalam meneruskan perbicaraan dan dikhuatiri akan menjejaskan hak pihak-pihak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil melalui teknologi komunikasi jarak jauh, pihak YBhg. Tan Sri/ Dato’ Sri/ Datuk/ Tuan boleh memohon untuk menangguhkan kes;

 

(b)      Pemfailan Kes Sivil dan Jenayah

Pemfailan kes-kes sivil dan jenayah baharu / notis rayuan dan dokumen-dokumen akan dilaksanakan seperti biasa melalui sistem aplikasi Mahkamah;

 

(c)      Pengurusan Kes Sivil dan Jenayah

Pengurusan kes sivil dan jenayah hendaklah dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh;

 

(d)      Pertuduhan Baharu, Permohonan Perintah Reman dan Permohonan Jenayah Pelbagai

Semua pertuduhan baharu, permohonan perintah reman dan permohonan perintah jenayah pelbagai hendaklah dijalankan melalui kehadiran secara fizikal di Mahkamah;

 

(e)      Perakuan Segera/ Permohonan Segera Bagi Kes-Kes Sivil dan Jenayah

Pihak-pihak boleh memfailkan perakuan segera/ permohonan segera bagi kes-kes sivil dan jenayah sekiranya perlu dan Mahkamah akan memberikan arahan lanjut kepada pihak-pihak berhubung dengan perkara tersebut; dan

 

(f)        Permohonan Jenayah Yang Perlu Dijalankan Melalui Kehadiran Secara Fizikal Di Mahkamah Atasan

Bagi permohonan jenayah yang perlu dijalankan melalui kehadiran secara fizikal di Mahkamah Atasan atas sebab-sebab yang khas dan dalam keadaan tertentu (exceptional circumstances), Mahkamah akan menggunakan budi bicara dalam mempertimbangkan permohonan tersebut.

 

3.      Untuk makluman YBhg. Tan Sri/ Dato' Sri/ Datuk/ Dato’/ Tuan—

 

(a)      arahan ini mengatasi kesemua arahan terdahulu berhubung dengan operasi Mahkamah dalam tempoh kawalan pergerakan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat ini melalui e-mel pada 17 Mac 2020, 26 Mac 2020 dan 24 April 2020; dan

 

(b)      arahan ini hendaklah terpakai sekiranya Kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan pelaksanaan ‘lockdown’ selepas tamatnya ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama.

 

4.       Kerjasama YBhg. Tan Sri/ Dato' Sri/ Datuk/ Dato’/ Tuan adalah dipohon untuk mematuhi secara ketat apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat ini dari semasa ke semasa. Untuk apa-apa pertanyaan, pihak YBhg. Tan Sri/ Dato’ Sri/ Datuk/ Tuan boleh menghubungi pegawai-pegawai berikut:

 

(a)          Mahkamah Persekutuan

Puan Wan Fatimah Zaharah binti Wan Yussof

Timbalan Pendaftar

03-88803596 (pejabat)/ 017-3758923 (telefon bimbit)

fatimah@kehakiman.gov.my

 

(b)          Mahkamah Rayuan

Puan Hasbi binti Hasan

Pendaftar Mahkamah Rayuan

03-88804045 (pejabat)/ 012-2098648 (telefon bimbit)

hasbi@kehakiman.gov.my

 

(c)          Mahkamah Tinggi Malaya

Puan Zaharah binti Hussain

Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya

03-88803702 (pejabat)/ 012-4011100 (telefon bimbit)

zaharah@kehakiman.gov.my

 

(d)          Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak

Tuan Nixon Kennedy Kumbong

Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak

088-286100 (pejabat)/ 013-8042607 (telefon bimbit)

nixon@kehakiman.gov.my

 

(e)          Mahkamah Rendah Malaya

Tuan M. Bakri bin Abd Majid

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya

03-88809418 (pejabat)/ 019-9851333 (telefon bimbit)

mbakri@kehakiman.gov.my

 

(f)            Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak

Puan Egusra binti Ali

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah

Menjalankan tugas-tugas Pendaftar Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak

088-286100 (pejabat)/ 016-8931397 (telefon bimbit)

egusra@kehakiman.gov.my

 

Sekian, terima kasih.

 

PRIHATIN RAKYAT: DARURAT MEMERANGI COVID-19

 

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

 

Saya yang menjalankan amanah,

 

t.t.

(AHMAD TERRIRUDIN BIN MOHD SALLEH)

Ketua Pendaftar

Mahkamah Persekutuan Malaysia